Monday, June 23, 2014

OKU , Kuman Seberang Laut

Puan Lola & Adik OKU : Muhammad Firdaus Dullah


Bismillah.


Sesetengah tulisan saya copy and paste.

Adik OKU ini terkenal akibat berita yang tersebar luas konnonnya dia "dikurung" oleh ibunya di rumah sehingga kurus kering. Dan akibat fitnah yang berleluasa tentang betapa "zalim"nya si ibu itu, adakah kita tahu hal yang sebenar?  Betulkan  persepsi anda dan tidak termakan fitnah yang telah anda baca baik daripada akhbar, TV mahupun post di Facebook....

Dan saya juga adalah seorang bapa kepada anak OKU yang Cerebral Palsy. Sudah 18 tahun saya menjaganya. Anak ini anugerah Allah yang tidak terhingga. Ramai orang melawat anak saya menitis airmatanya apatah lagi apabila melihat keadaan Muhammad Firdaus Dullah. 

Apabila saya melihat keadaan Muhammad Firdaus, saya amat sedih dan sebak. Ketabahan ibu bapa yang mempunyai anak OKU jenis ini wajar diberi penghargaan.

Pada saya jika ibu adik Firdaus tidak menghiraukan anaknya sudah tentu Muhamaad Firdaus dah lama mati dalam keseorangan dan membusuk dalam bilik itu. Khabarnya facebook ibunya dijejaki dan digelar iblis, syaitan, kejam dan sebagainya. Aduh, semoga Allah memberi rahmat dan petunjuk kepada orang yang memaki dan menuduh tanpa usul periksa.

Daripada pembacaan saya di akhbar, daripada cakap bekas pengasuhnya , Puan Lola amat menyayangi Firdaus ,  tidak pernah sekalipun dimarah apatah lagi dijentiknya. Ya, saya akui Puan Lola sedikit 'fail' dalam pengurusan kebersihan anaknya. Namun kemampuan Puan Lola meneruskan hidup Muhamaad Firdaus selama 15 tahun dengan pelbagai dugaan dan cabaran harus diakui. Allah jua lah yang mengetahui niat Puan Lola.

Kisah bermula apabila Puan Lola terpaksa meninggalkan Firdaus berseorangan di rumah akibat terpaksa bekerja menampung belanja keluarga. Dia bekerja di KLIA dan gajinya hanyalah sedikit yang amat sangat. Anak kedua Puan Lola yang berumur 6 tahun ( Turut berada di hospital dalam wad yang sama kerana Puan Lola ditahan ) mempunyai kondisi "Hyperactive". Puan Lola juga diberikan ujian kesihatan dan beliau sendiri sakit. Masya Allah besar ujian keluarga ini.

Puan Lola menanggung perbelanjaan sewa rumah, perbelanjaan motor perubatan, menghantar wang kepada ibu bapanya di Sabah dan macam-macam lagi dan akibat kepayahan ini, mereka hidup sekangkang kera sebagai mana anda boleh lihat dalam rumahnya yang kosong. Untuk menambah pendapatan, Puan Lola mencari dan menjual tin kosong dan juga kotak-kotak. Masya Allah

Dan jika kita persoalkan mengapa hanya diberi pakaian reput kepada Firdaus, "mak dia tak mampu ke nak beli baju RM5 sekalipun ?" Jawapannya senang, ya mereka teramat miskin hingga hendak beli baju baru pun tidak mampu.

Seorang lelaki yang merupakan ahli NGO kawasan perumahan Puan Lola sekeluarga. Beliau pernah bekerja denga Puan Lola selama 6 tahun di KLIA dan beliau turut mengatakan bahawa apa yang masyarakat perkatakan terhadap Puan Lola adalah salah sama sekali. Beliau seorang yang lemah lembut, rajin dan selalu kerja "overtime" untuk mencari duit lebih bagi menampung keluarga.

Firdaus. Mengikut fahaman saya melalui akhbar hari ini menulis cuma pandai menyebut "Mak..." "Ibu" dan 'makan' sahaja sedang anak saya hanya mampu tersengih sahaja. Firdaus boleh mengesot sedang anak saya terbaring kaku dan mampu tersengih sahaja.

Seorang sahabat saya pagi ini hairan menyatakan dia berasa hairan kerana saya terlalu 'back-up'  Pn Lola. Ya, dengan tiada satu pun calar atau parut dera pada adik Firdaus membuktikan yang ada hanyalah kesan kasih sayang ibu yang bersusah payah menjaga si adik meskipun ibunya sakit dan tidak mampu. Selagi lagi saya nyatakan Pn Lola 'fail' dalam aspek kebersihan.

Kesimpulan yang boleh dibuat adalah :

1 ) Kita seharusnya malu dan harus rasa bersalah terhadap Puan Lola atas fitnah dan tohmahan yang disebarkan. Mohon maaf kepada ibu adik Firdaus jika berkesempatan. Kita harus ingat, jika orang kutuk mak kita kita mesti akan marah bukan main lagi dan akan membalas perbuatan terkutuk tu betul tak ? Bayangkan anda telah mencaci ibu kepada adik Firdaus yang OKU yang tidak mampu untuk marah atau membalas perbuatan anda terhadap ibunya.

2 ) Kita tidak boleh menuduh melulu tanpa membuat siasatan terperinci terhadap sesuatu perkara. Silap langkah maka ianya menjadi fitnah. Ingatlah Fitnah itu dosanya lebih besar dari membunuh.

3 ) Tanamkan sikap membantu kepada orang yang susah, jangan tunggu NGO ataupun orang datang kutip derma baru nak tolong. Cari dan berkawanlah dengan orang yang miskin dan susah. RM1 bagi anda mungkin sedikit, namun bagi mereka ianya tidak ternilai... Besedekahlah sentiasa, meskipun harta di dunia kurang, harta dan pahal diakhirat berkali ganda Allah akan balas.

4 )Selalu menderma.

5 )  Hanya Allah mengetahui kebenaran. Semoga Adik Muhammad Firdaus sejahtera dan sihat selalu.
Firdaus  ..... awak ada seorang kawan nama E-One .....  
Saya sangat sayang E-One .... Saya juga sayang Firdaus. 
Semoga ibu Firdaus akan bebas daripada sebarang pertuduhan dan kembali menjaga Firdaus dengan bantuan NGO-NGO dan orang-orang yang dah muncul sebagai hero.
Walahualam.

Saturday, September 21, 2013

Siapakah sebenarnya menentang arus ......

     Kini sah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin menghantar borang pencalonan bagi rebut jawatan Ketua UMNO Bahagian berkenaan yang kini disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.Sejak 51 tahun Ku Li selesa menjadi Ketua UMNO Bahagian Gua Musang tiba-tiba ia dicabar oleh budak hingusan di Gua Musang. Pedulikan ramalan akan kekalahan, Sdr Bazlan nampaknya sangat teguh dengan pendiriannya. Mengapa? Mengapa? Persoalan yang bermain di benak saya sedangkan saya adalah Setiausaha Pergerakan pemuda UMNO di sepanjang era Bazlan menjadi ketuanya. Kini Tengku Razaleigh perlu mempertahankan jawatan beliau pada pemilihan kali ini. Saya tidak nampak bagaimana Bazlan akan memenangi pemilihan ini tetapi beliau tentu akan memberi cabaran yang sengit. Bazlan dikatakan menentang arus........ JEBAT .... akukah yang bersalah atau TUAH kah?


     Bagi pemilihan Timbalan Ketua UMNO pula nampaknya penyandang YB Mat Yusoff Abdul Ghani akan dicabar oleh Dato' Paduka Nozula yang sebelum ini memegang jawatan Naib Ketua Bahagian.Entah di mana silapnya penyandang jawatan ini dikatakan menentang arus kepimpinan. Agaknya kebetulan dengan nasib suratan, saya berada bersama Sdr Bazlan sekian lama yang akhirnya memilih untuk mencabar Ku Li. Bagaimana dengan YB Mat Yusoff? Saya menjadi 'wakil calonn'nya dalam PRU-13 dan kemudian 'wakil calon' dalam pemilihan Bahagian Gua Musang pula. Keadaan ini membuatkan saya begitu resah. Saya begitu sayangkan Ku Li ( role model kepimpinan saya ).

      Adakah benar YB Mat Yusoff adalah penentang arus kepimpinan sekarang? Marilah kita sama-sama renungkan. Saya menulis berasaskan saya adalah 'wakil calon' beliau.

1. YB Mat Yusoff  telah menyuarakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Timbalan Ketua sebelum ini kepada YBM Ku Li. Mengapa? KERANA ada orang dalam arus kepimpinan sekarang mencari sokongan pihak ketiga untuk menjatuhkan YB Mat Yusoff. Bukan rahsia di Gua Musang. Mungkin pertelingkahan peribadi menjadi punca.

2.  Berasaskan alasan yang sama YB Mat Yusoff sekali menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatannya di dalam Mesyuarat Bulanan UMNO Gua Musang yang dipengerusikan oleh YBM Ku Li sendiri.

3.  Kemudian satu perjumpaan ( mungkin perbincangan atau sembang kedai kopi ) telah diadakan di Hotel Perdana antara 3 orang Yang Berhormat  dengan dihadiri secara khas oleh seseorang yang dikenali sebagai ADO Sukri. Mengikut kata YB Mat Yusoff dalam perjumpaan lapan mata itu  dimohon barisan kepimpinan sekarang bersatu-padu dan mengekalkan jawatan di semua peringkat.

4.   Selepas pertemuan itu sekali lagi YB Mat Yusoff mendapati bahawa  keputusan perjumpaan 'tidak rasmi' ini tidak dipatuhi. Ada usaha dibuat supaya pihak ketiga mencabar YB Mat Yusoff. Jadi YB Mat Yusoff mengambil keputusan dan membuat rumusan bahawa pertemuan berkenaan tidak bermakna.

     Pada suatu pagi yang hening ketika di rumahnya,  YB Mat Yusoff berkata apa salahnya kalau dia memberi laluan jawatan ini kepada 'pihak ketiga' ini? Lalu satu kenyataan akhbar dikeluarkan. Ketika ini semua orang melenting. Dan kesalahan diletakkan di atas bahunya pula. Siapakah sebenarnya menentang arus ...... TUAH kah  atau JEBAT kah ?

p/s : Aku terus menggaru-garu kepala ku yang tidak gatal ini. Semoga UMNO Bahagian Gua Musang terus bersatu padu. Amin Ya Rabbal Alamin.



Saturday, July 21, 2012

Untungnya Ramadhan


Berpuasa di bulan  Ramadhan 

Pada bulan Ramadhan, kita umat Islam diwajibkan berpuasa  bagi yang mencukupi syarat untuk berpuasa. Ramadhan bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang yang soleh.
Banyak hadis meletakkan kedudukan orang yang berpuasa dalam keadaan yang penuh rahmat dan keberkatan. Ramadhan adalah masa terbaik bagi setiap Muslim memperbaiki kelemahan diri dan memperkuatkan diri.

Amalan kebaikan yang  dilaku dan diamalkan pada bulan Ramadhan mudah melekat dalam diri dan boleh menjadi ‘cermin’ untuk diteruskan di luar Ramadhan. Berpuasa umpama satu latihan tingkahlaku yang perlu diamalkan pada kebanyakan masa dan bukannya bermusim.
Ramadhan umpama seperti pencuci berkuasa tinggi yang dapat menanggalkan kotoran yang sebati pada diri. Kekotoran ini jika tidak dibuang akan menjadi racun dan toksid kepada badan. Setahun sekali ia dibuang supaya menjadi bersih.

Kita belum tentu hidup lagi pada Ramadhan yang akan datang. Kesempatan berpuasa tidak boleh dilepaskan oleh setiap orang yang beriman. Seperti ‘durian runtuh’ maka rugilah barang sesiapa yang tidak merebut semua peluang yang disediakan. Rebutlah peluang yang ada di masa muda remaja. Ingatlah 4 perkara sebelum datang 4 perkara yang lain.

Friday, March 16, 2012

Masyarakat Berilmu Penjana Perubahan


Dalam dunia sekarang, penguasaaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian. Penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana.



  Jika kita berilmu sudah tentu kita tidak akan berasa ketinggalan, di perbodohkan dan juga rendah diri. Oleh yang demikian, peluang yang ada harus di rebut untuk memastikan penguasaan ilmu tidak kira dalam bidang tertentu atau pun sebaliknya.


   Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(al-Bazzar)




     Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.

      Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

  
       Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;

                         يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير       
 
     Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

     Kata pepatah, "ilmu pelita hidup". Ia memberi cahaya kepada pembangunan kehidupan berkualiti. Orang yang berilmu sentiasa akan berasa tenang dan hidup dalam harmoni. Jadi, ayuh! Jangan buang masa dengan kelalaian, manfaatkan masa yang ada untuk kita menimba ilmu.

Kikek  : Hanya memetik inti-inti penting dalam internet untuk dikongsi dan difikirkan bersama-sama.


 



 

Tuesday, December 13, 2011

Kenapa Mahu Yang Muda?

PRU13 : Apakah Harapan BN?
Pada hemat Kekek Barisan Nasional mempunyai peluang yang baik untuk menang dalam PRU13 yang akan diadakan nanti.Walau bagaimana pun terdapat beberapa keadaan yang boleh jadi samar-samar.Hasil keputusan PRU12 telah menunjukkan bahawa kerajaan BN sekarang bukanlah sebuah yang kuat. Ia kini begitu 'berani' diserang oleh parti pembangkang. Kiri, kanan, atas, dan bawah. Apalagi beberapa buah negeri di Semenanjung dikuasai oleh parti lawan. Ia ditambah buruk dengan sesetengah penyokong BN  ketandusan idea untuk membahaskan isu-isu yang timbul. apalagi penyokong yang mengiyakan saja kata-kata pembangkang yang belum tentu kebenarannya.
Apakah parti-parti dalam BN sudah benar-benar bersedia turun gelanggang untuk menepis isu-isu terkini? Persediaan parti amat penting dalam memberi nafas segar kepada penyokong masing-masing.


PELUANG PEMIMPIN MUDA?
Pemimpin lama yang masih mempunyai sokongan kuat perlu dikekalkan bagi menentukan kemenangan parti. Hari ini kekek membaca akhbar yang menyatakan Jose Maurinho sanggup membeli Frank Lampard ( ayam tua Chelsea ) dengan alasan beliau memerlukan 'orang lama' dalam saingan La Liga. Hari ini dalam pergerakan parti telah muncul ramai pemimpin muda yang boleh membantu kerajaan. Pemimpin muda ini perlu diberi peluang sebagai pelapis dalam PRU13 yang akan datang ini.Ini akan memudahkan peralihan kuasa yang bakal berlaku di masa akan datang. Benar, pemimpin lama perlu 'membimbing' orang baru. Tapi 'orang lama' tidak boleh terlalu lama. Sepatutnya orang yang seangkatan 'Dr Mahathir' tidak lagi menawarkan diri kali ini.Berilah 'orang lama' yang lebih muda sedikit.Kekek merasa hairan bila ada seorang MB yang sudah begitu lama dan 'uzur' masih sanggup bertanding jika dicalonkan. Dalam BN pun ada?
Namun kekek amat pasti bahawa pengunduran pemimpin lama perlu mengambil berat mengenai banyak perkara supaya ia tidak menjejaskan kekuatan parti.Pemimpin muda pula harus berfikiran terkehadapan bagi membolehkannya memikul tanggungjawab mentadbir negara yang mudah.

Akhir sekali pada hemat Kikek : Pemimpin yang hendak dicalonkan mestilah  bersih, cakap, dan amanah.

Tuesday, July 5, 2011

Melayu dan Perpecahan

     Kemerdekaan negara kita akan menjangkau kali ke-54. Rupanya sudah 54 tahun umat Melayu dan kaum Malaysia bebas dari sebarang bentuk penjajahan. Umat Melayu begitu selesa tanpa disedari banyak lagi perkara yang perlu dilakukan supaya kita tidak terpinggir buat kali keduanya. Sikap lupa diri, Kegagalan Umat Melayu memanfaatkan segala kemajuan teknologi mutakhir dan kita juga sering terjerat dalam salah tafsir ajaran Islam.
     Hari ini kita dapat melihat dan berfikir sebenarnya umat Melayu masih lagi lemah dan pada hakikatnya mereka belum berjaya. Namun dari lagak yang ada sekarang Umat Melayu berlagak seolah-olah mereka terlalu kuat seoalah-olah mereka berjaya tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Padahal hakikat kejayaan yang dicapai selama ini adalah hasil perlindungan dasar bantuan kerajaan memerintah yang diterajui UMNO.
     TIDAK semua umat Melayu dilanda sindrom lupa diri dan lupa daratan tetapi segelintir daripadanya sudah cukup meneyebabkan kehancuran umat..Sejarah kehancuran Melaka boleh dijadikan pedoman. Cukup adanya segelintir pegawai melakukan kecuaian maka hancurlah semuanya.
      Kelemahan menguasai teknologi pada masa itu menyebabkan Melaka tidak dapat menentang Portugis sedangkan hubungan Melaka sudah terjalin dengan Cina, Arab sekian lama. Lambat menguasai teknologi dan tidak mengambil peluang pada ketika itu menyebabkan kita lesu dan layu di tangan Portugis.
     Rumpun Melayu ketinggalan dalam arus revolusi industri pada satu ketika dulu kerana mereka sedang dijajah, namun persoalan paling kritikal ketika ini adakah kita akan terus bersama-sama menguasai dunia IT yang sedang melanda dunia globalisasi ketika ini? Kerajaan yang ditunjangi UMNO pula terus bekerja dengan kuat seperti dengan penubuhan MSC dan Cyberjaya.
     Siapakah yang akan kita persalahkan pula selepas ini?
     Satu persoalan lain juga berlegar di fikiran saya : satu masa dulu Islam telah menjadikan bangsa Arab yang berpecah-belah menjadi bersatu tatkala Barat masih dalam kegelapan. kenapa pula Umat Melayu pada hari ini begitu ghairah mencari kesalahan antara satu sama lain dengan menjadikan Islam sebagai landasan perpecahan yang sedang berlaku ini? Adakah kerana seorang individu yang berpengaruh kita sudah melupakan perpaduan Melayu? Adakah kerana membenci kerajaan hari ini  menyebabkan kita buta untuk melihat kesalahan nyata individu berkenaan?

Monday, April 11, 2011

Mengapa Bersekolah?

Kebanyakan kita menghantar anak ke sekolah setiap hari tanpa memikirkan mengapa kita melakukannya? Mungkin jawapan kita kerana memang begitu. Kerajaan pun menetapkan sedemikian. Malah semua orang di sekeliling kita melakukan perkara yang sama.
Mengapa anak kita mesti terpelajar? Mengapa mereka perlu belajar? Sudah tentu soalan ini tidak memerlukan jawapan kerana soalannya tidak begitu akademik dan tidak penting.
Adakah fungsi sekolah untuk membangunkan intelektual sahaja ATAU untuk menghasilkan manusia yang berdaya saing, prihatin, penyayang dan disayangi. Mungkin kedua-duanya sekali.



Ada yang berkata persekolahan adalah pendorong rasa ingin tahu pada kanak-kanak apabila memulakan persekolahan.Sesetengah ibubapa pula merasakan lebih selamat menyerahkan kepada sekolah memajukan keupayaan keintelektualan anak mereka. Mereka ini perlu bertanya, "Manakah yang lebih sesuai untuk anak mereka?".
Apapun kita percaya bahawa tujuan pendidikan tidak semata-mata untuk membantu kanak-kanak mengetahui lebih banyak tetapi untuk membantu kanak-kanak menjadi seorang yang berfikir, prihatin, berimaginasi, memahami dan menyesuaikan diri dengan lebih baik supaya menjadi pelajar yang lebih baik.
Kikek   : Kita perlu lebih komited terhadap kemajuan anak-anak kita. Kitalah acuannya.